Friday, 1 April 2011

umrah dan ziarah di Mekkah Al Mukarramah

Coretan pengalaman menjadi tetamu Allah di bumi Mekkah Al Mukarramah:


16 Mac 2011
Kami berhenti di masjid Bir 'Ali untuk solat sunat ihram dan berniat ihram. Jadi, menurut ustaz, kami dilarang melakukan beberapa perkara seperti memakai wangi- wangian, mencabut rambut yang ada pada tubuh dan beberapa lagi perkara lain. Berada dalam ihram ini sama seperti apabila kita hendak menunaikan solat, bermulanya kita mengangkat takbiratul ihram, kita dilarang makan, minum, bercakap dan lain-lain. Inilah salah satu cara Allah mendidik umat Islam agar berdisiplin. 


Alhamdulillah. Kami selamat tiba di bumi kelahiran Nabi Muhammad s.a.w lebih kurang pukul 11 malam. Selepas makan malam dan check in di hotel Haneen Firdaus, kami bersiap untuk menunaikan umrah pada malam itu juga supaya dapat cepat keluar daripada ihram (bertahallul). Jadi, dengan bimbingan 2 orang mutawwif dari Indonesia, kami segera berjalan kaki menuju ke Masjidil Haram walaupun dalam keadaan hujan. Alhamdulillah, hujan pada malam itu menggembirakan penduduk Mekkah setelah lama tidak turun hujan. Moga hujan pada malam itu adalah hujan rahmat. Allahumma amin. Pada malam itu, kami tawaf mengelilingi Kaabah di dalam hujan. Hujan di luar sekali dengan hujan di mata.Sedikit coretan hati yang dinukilkan di Tanah Haram.
Saat pertama terpandangkan Kaabah,
air mata terus menitik tanda kesyukuran,
seolah tidak percaya diri ini berada di hadapan Baitullah al Haram,
tempat yang menjadi kiblat bagi umat Islam,
tempat yang pernah cuba dirobohkan oleh tentera Abrahah,
tempat di mana ibunda Hajar dan anaknya Ismail ditinggalkan demi perintah Allah,
tempat yang menjadi saksi Rasulullah bersolat,
Ya Allah,
tambahkan kemuliaan dan kehebatan rumahMu ini,
dan tambahkan kemuliaan kami, orang-orang yang mengerjakan umrah ini. 

Saat pertama terpandangkan Kaabah,
pelbagai kisah terbayang di mata,
air mata menitik laju seiring hujan yang turun,
terkenang saat Rasulullah bertawaf mengelilinginya,
terkenang saat  Nabi diletakkan najis unta ketika sujud di sini,
terkenang saat Saidina Umar menghebahkan keislamannya di sini,
terkenang saat Abu Jahal merancang tuk membunuh Nabi di sini,
terkenang saat Nabi merintih berdoa pada Tuhan untuk Islam di sini,
seolah terlihat Bilal berdiri di atas Kaabah melaungkan azan,
seolah terlihat Nabi memecahkan berhala sewaktu Fathul Mekkah,

Ya Allah, 
banyaknya kisah perjuangan Islam di sini,
hebatnya pengorbanan Nabi dan para sahabat demi Islam,
tingginya peribadi mereka dengan Islam,
mulianya hati mereka dengan Islam,
sayangnya mereka pada Nabi kekasihMu,
terasa diri ini terlalu hina berbanding mereka,
terasa malu untuk berdiri di depan rumahMu,
mengingatkan diri yang penuh dosa,
betapa diriku jauh dariMu Tuhan,
solat sering saja kutunda,
al quran pun jarang kubaca,
lidahku kotor dengan kata-kata dusta,
mata ini tak kujaga dari perkara dosa,
telinga ini mendengar perkara lagha,
ampunilah dosaku ini dengan taubat nasuha,
kurniakan maghfirahMu Ya Allah,
terimalah aku sebagai tetamuMu

Najah Solihah Mohd Hamdan
Mekkah Al Mukarramah
Selepas selesai tawaf 7 pusingan, kami meneruskan ibadah umrah ini dengan sa'ie dari Bukit Safa ke Bukit Marwah. Jarak dari Safa ke Marwah lebih kurang 4.2 m dan mengambil masa lebih kurang sejam, tambahan pula terpaksa menunggu nenek dan ayah long yang sedikit uzur. Tapi Alhamdulillah, sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang, kami semua tidak demam ataupun sakit walaupun kesejukan dibasahi hujan. Terima kasih Ya Allah. 

Sewaktu sa'ie, terbayang di minda kisah hebat Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail sewaktu ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di lembah ini yang kering kontang suatu masa dahulu. Apabila si anak menangis kehausan, Siti Hajar bangun mendaki Bukit Safa yang merupakan bukit terdekat dengannya dengan harapan agar dapat meminta pertolongan sesiapa untuk memberikan mereka sedikit air. Namun, hasratnya idak kesampaian. Lalu, beliau terus berjalan mendaki Bukit Marwah dengan harapan yang sama, tetapi tiada seorang manusia pun kelihatan berada di situ. Akhirnya, setelah 7 kali ulang alik, Allah telah menghantar malaikat Jibril untuk membantu kedua-dua beranak itu dengan menganugerahkan air yang terpancar keluar di tanah tempat Ismail menghentakkan kakinya. Lalu Hajar terus membuat batas dengan tangannya di sekeliling mata air itu sambil menyebut zamzam yang bermakna takung dan mengisi ke dalam bekas airnya. Menurut ustaz, kita patut berterima kasih pada Siti Hajar kerana telah menakung air itu sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: "Semoga Allah merahmati ibu Ismail. Jika beliau membiarkan air zamzam mengalir tanpa cuba membatasinya, nescaya zamzam akan menjadi sungai yang mengalir ke seluruh muka bumi". Allahuakbar. 


Air zamzam yang menjadi minuman seharian jema'ah Masjidil Haram dan menjadi penghilang dahaga setelah penat berjalan dari hotel ke masjid. Terdapat air zamzam sejuk dan yang tidak sejuk. Sesungguhnya, banyak kelebihan air zamzam ini iaitu: air yang terbaik di atas muka bumi, salah satu daripada mata air syurga, mampu mengenyangkan peminumnya, menyembuhkan penyakit dan menyempurnakan hasrat peminumnya biiznillah.


Sewaktu menaiki Bukit Safa ketika sa'ie, hatiku sebak mengenangkan pelbagai peristiwa yang telah berlaku di sini dalam perjuangan Islam dahulu. Terasa hiba apabila terkenangkan bahawa di sinilah, Rasulullah telah dicaci oleh Abu Lahab kerana menyampaikan risalah Islam setelah mendapat perintah Allah agar berdakwah secara terbuka. Di bukit ini jugalah, Abu Jahal pernah mencaci dan memukul kepala Rasulullah sehingga Baginda luka berdarah dan peristiwa ini jugalah yang membawa kepada pengislaman Hamzah b Abd Muttalib. Dan di bukit ini jugalah, Rasulullah telah mengisytiharkan keamanan kepada penduduk Mekkah sewaktu Fathul Mekkah. Baginda telah naik ke atas Bukit Safa ini selepas melakukan tawaf sambil menghadap ke arah Kaabah dan memuji Allah s.w.t. Allahuakbar, bukit ini benar-benar menggamit rasa rindu pada Rasulullah s.a.w. Allahumma solli 'ala saidina Muhammad.


Alhamdulillah, kami selesai bertahallul (keluar daripada ihram) pada pukul 3 pagi."Segala puji bagi Allah yang telah menyelesaikan manasik kami. Ya Allah, inilah ubun-ubunku, maka jadikanlah setiap helai rambut itu cahaya bagiku pada hari kiamat dan hapuskan untukku dengan setiap helai rambut itu keburukandan angkatlah darjat kami di sisiMu".  

18 Mac 2011 (Jumaat)
Sewaktu solat Subuh, imam telah membaca surah As Sajdah. Apabila imam sujud tilawah, dianggarkan ramai para jamaah yang rukuk. Mungkin kerana mazhab berbeza (bagi bukan rakyat malaysia) dan bagi rakyat Malaysia pula, kebanyakan yang menjadi ahli masjid sahaja tahu tentang sujud sejadah ni. Pada pagi itu, kami berpeluang untuk iktikaf lama di masjid sementara menunggu waktu Zohor. Kami pergi ke masjid dalam pukul 10 pagi. 
Alhamdulillah, dapat tempat sembahyang di depan Kaabah. Sungguh seronok apabila dapat mengulang quran sambil melihat Kaabah. Sesungguhnya, memandang Kaabah pun sudah dapat pahala. Pada waktu itu, kami duduk bersebelahan dengan orang  Turki. Sempat bercakap dengan mereka walaupun seperti ayam dan itik bercakap. Mereka ini tidak pandai Bahasa Arab ataupun English, apatah lagi Bahasa Melayu (^_^). Walaupun orang Turki kebanyakannya kasar, tapi mereka ni baik dan peramah.Sempat juga salah seorang mak cik Turki ni mengalunkan nasyid  dan menyebabkan sahabat Turki yang memahami lagu itu menangis. Mungkin nasyid mereka ni seperti qasidah atau lagu tentang taubat. Entahlah, betul tak tekaan ni, kena belajar bahasa Turki dulu baru tahu. Nak dengar, jom layan kejap...


Pengalaman pertama solat Jumaat dalam hidup. Walaupun khutbah disampaikan dalam bahasa arab, boleh juga faham 10% daripada isi kandungan, terutamanya apabila doa khutbah dibacakan. Sebak hati ini apabila doa dibacakan untuk rakyat Palestin dan Masjidil Aqsa. Aku sudah dapat merasai suasana solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, tetapi bilakah agaknya dapat menunaikan solat di Masjid al-Aqsa? Masjid mulia yang menjadi persinggahan Nabi Muhammad s.a.w sewaktu peristiwa Israk Mikraj, peristiwa yang amat bermakna dalam lipatan sejarah Islam.

Solat Jumaat itu diimamkan oleh ketua imam Masjidil Haram, Syeikh Abdul Rahman Al Sudais. Saat yang memang sering dinantikan oleh kebanyakan jema'ah. Allahuakbar, meremang bulu roma tatkala mendengar alunan bacaan yang dibaca oleh beliau. Walaupun bacaannya pendek, tetapi sangat bermakna buat kami yang sangat mengkagumi beliau. Terdetik di fikiran, alangkah bahagianya jika hafazan quranku seperti mereka, para imam di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Lancar sahaja bacaan mereka, mungkin kerana hidup mereka diwakafkan sepenuhnya untuk Al Quran. "Ya Allah, jadikanlah quran yang kuhafal ini sebagai pembela di padang mahsyar nanti, bukannya hujah ke atasku nanti".
Al Quran yang tersusun rapi di atas rak  yang berwarna keemas-emasan di dalam Masjidil Haram. 
Makan aiskrim dalam perjalanan balik dari masjid ke hotel selepas solat Asar. Ais krimnya sedap hingga menjilat jari. 


19 Mac 2011

Pada pagi itu, kami dibawa ziarah di Jabal Thur, Jabal Nur, Jabal Rahmah, Arafah, Muzdalifah, Mina dan Ji'ranah (untuk niat ihram). 

Bergambar di Jabal Nur, tempat Nabi menerima wahyu yang pertama. Nabi telah berkhalwat di Gua Hira' yang terletak di puncak Jabal Nur untuk beribadat kepada Allah sebelum Baginda dilantik menjadi Nabi dan Rasul. Untuk mendaki ke puncaknya (Gua Hira') mengambil masa kira-kira 1 jam. Dari gua ini, kita akan dapat melihat Kaabah dan kawasan sekelilingnya.




Jabal Thur, tempat persembunyian Rasulullah dan Saidina Abu Bakar sewaktu peristiwa hijrah ke Madinah. Subhanallah, terbayang betapa hebatnya pengorbanan seorang wanita bernama Asma' yang sedang sarat mengandung sanggup mendaki ke Gua Thur yang terletak di puncak bukit itu untuk menghantar makanan kepada Rasulullah dan ayahanda Abu Bakar. Bayangkanlah, masa yang diambil untuk mendaki ke puncak lebih kurang 1 jam setengah. Allahuakbar, betapa hebatnya pengorbanan beliau. Insya Allah, berazam untuk mencontohi sikap srikandi mulia ini, sanggup bersusah payah demi perjuangan Islam.

Pemandangan di Jabal RahmahMeriah dengan unta berhias dan motor yang boleh disewa untuk berjalan sekeliling kawasan ini. Jabal Rahmah, bukit yang dikatakan menjadi tempat pertemuan pertama Adam dan Hawa setelah diturunkan dari syurga. Wallahua'lam sejauh mana kebenarannya. Ramai yang mendoakan jodoh di sini, tidaklah salah. Tapi jangan lupa agar jangan mengharapkan doa di Jabal Rahmah sahaja, tapi diri sendiri dulu yang perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik bagi mendapat yang terbaik. 


Abi dan Husni bersama unta berhias di Jabal Rahmah. Husni pucat sewaktu unta nak duduk. Unta ini menjadi haiwan tunggangan Rasulullah dan para sahabat sewaktu berhijrah, berperang dan dalam kehidupan seharian mereka beribu tahun dahulu. Nabi juga pernah bersabda: "Sesungguhnya perumpaan Al-Quran bagi penghafaznya adalah seperti seekor unta liar di padang pasir. Jika kita mengikatnya dengan kemas, maka kita dapat menjaganya. Sebaliknya jika kita leka, maka unta tersebut akan menghilang pergi"




Abi dipeluk erat oleh pemandu bas. Suasana di jalan raya amatlah bising dengan bunyi hon, kadang-kadang mereka hon tanpa sebab. Menjadi keseronokan mereka agaknya. 


Mina. Salah satu tempat manasik haji, tempat Allah telah menghantar kibas kepada Nabi Ibrahim sebagai ganti sembelihan untuk anaknya Ismail a.s, tempat diturunkan surah An-Nasr sewaktu Hujjatul Wada', tempat diturunkan surah Al-Mursalat dan terdapatnya Masjid Khaif (menurut Ibn Abbas r.a: seramai 70 orang Nabi telah bersolat di Masjid Khaif, termasuklah Nabi Musa a.s).  





Abi dan ustaz di Masjid Ji'ranah, miqat untuk berniat ihram. Rasulullah pernah berhenti di sini untuk membahagikan tawanan dan harta rampasan perang Hawazin, ketika dalam perjalanan pulang dari Perang Hunain pada tahun 8H. Di sini juga berlakunya peristiwa orang Ansar tidak berpuas hati dengan Rasulullah kerana Baginda hanya membahagikan harta kepada pemimpin Quraisy Mekkah yang baru masuk Islam. Setelah Baginda mengetahui hal itu, Baginda memanggil semua kaum Ansar dan berkata: "Wahai kaum Ansar! Kamu terasa dengan aku kerana sedikit dunia yang aku berikan kepada orang lain bagi mengikat hati mereka pada Islam, sedangkan aku mempercaya kamu kerana iman kamu. Adakah kamu tidak reda? Orang lain pulang membawa kambing dan unta, tapi kamu pulang membawa Muhammad bersama kamu".
Berhenti rehat untuk minum air zamzam sewaktu sa'ie kerana kepenatan setelah tawaf di tengah panas.
Hari ini juga merupakan hari lahir abang kedua, Muhammad Hilmi Mohd Hamdan. Selamat hari lahir bimi. semoga cita- cita untuk mati syahid itu dikabulkan Allah. Allahuakbar, besar sungguh cita-cita abangku ini. 


20 Mac 2011
Ceramah "Anda di bumi Mekkah Al Mukarramah" oleh Al Fadhil Dr Basit b Abd Rahman. Ustaz banyak menceritakan tentang kelebihan kota suci Mekkah, sejarah dan kelebihan kawasan sekitar Kaabah seperti telaga Zamzam, Hajarul Aswad, Maqam Ibrahim, Hijr Ismail, Bukit Safa dan Multazam serta tempat-tempat bersejarah di sekitar Tanah Haram.

Sedikit perkongsian daripada ceramah tersebut ialah kelebihan kita bertalbiah: "Ya Allah, Ya Tuhanku. Aku sahut panggilanMu, aku sambut seruanMu. Tiada sekutu bagiMu, aku sambut seruanMu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kerajaan itu adalah milikMu. Tiada sekutu bagiMu" adalah kita menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s 100 tahun dahulu. Diceritakan: Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail siap membina Kaabah, maka Allah telah memerintahkan agar Ibrahim membuat seruan kepada manusia. Lalu Nabi Ibrahim naik ke Bukit Arafah dan menyeru pada semua manusia agar datang menziarahi Kaabah dengan seruan (talbiah) ini. Dengan kuasa Allah, suara Nabi Ibrahim didengari oleh semua manusia dan Allah mencampakkan rasa cinta dalam hati mereka bagi memuliakan Kaabah. Subhanallah, terasa begitu dekat dengan Nabi Ibrahim sewaktu melafazkan talbiah ketika dalam ihram. Allahuakbar.

21 Mac 2011
Pada pagi itu, kami pergi ke Masjid Tan'iem untuk niat ihram (umrah sunat kali ke-3)
Masjid Tan'iem, juga dikenali dengan nama Masjid Sayyidah Aishah. Di sini  berlakunya peristiwa pembunuhan Khubaib bin 'Adi r.a oleh kafir Quraisy sewak tu peristiwa Delegasi Ar Raji'. Sebelum dibunuh, Abu Sufian bertanya Khubaib: "Sukakah engkau jika Muhammad berada di tempat kamu sekarang dan kami pancung kepalanya, sedang engkau bersama keluargamu?". Lalu Khubaib menjawab: " Demi Allah, aku tidak suka kalau aku bersama keluarga, sedang Muhammad disakiti walaupun hanya kerana tertusuk duri". Subhanallah, kasihnya para sahabat terhadap Nabi Muhammad. Bagaimana agaknya diri kita? Habib Umar pernah berkata: "Jika Nabi itu hidup dalam hatimu, nescaya engkau tidak cemarkan hatimu dengan perkara maksiat". Tepuk dada, tanya iman. Sejauh mana Rasulullah hidup dalam hati kita. 

Abi, Husni dan Ayah Long siap berpakaian ihram di Masjid  Tan'iem.



23 Mac 2011
Kami dibawa melawat Muzium Mekkah, ladang unta dan Hudaibiah.


Di ladang unta. Tertarik dengan cerita ustaz Moin bahawa air kencing unta boleh digunakan sebagai ubat. Percaya atau tidak? Rupanya Anas bin Malik r.a pernah berkata: "Cuaca Madinah tidak sesuai untuk beberapa orang, maka Nabi s.a.w menyuruh mereka mengikut pengembala untanya, kemudian  dapatkan air kencing dan susunya. Maka, mereka mengikut pengembala itu dan minum susu serta kencing unta sehingga menjadi sihat semula badan mereka".


Susu unta segar yang baru diperah, masih panas lagi.  5 riyal satu botol.


Muzium Mekkah. Terdapat banyak koleksi artifak seperti kerongsong Hajarul Aswad, pintu Kaabah, gambar lama Masjidil Haram, kelambu Kaabah dan banyak lagi.
Tangga untuk naik ke Kaabah di Muzium Mekkah
Peta perjalanan yang dilalui oleh Nabi sewaktu peristiwa hijrah ke Madinah. Dalam perjalanan, Nabi dan Abu Bakar dikejar oleh Suraqah bin Malik. Tapi, setiap kali hendak memanah, kaki kudanya akan terbenam,ke dalam tanah sehingga dia terjatuh. Akhirnya timbul rasa takut dalam dirinya kerana yakin Muhammad itu dipelihara oleh Tuhan, lalu dia meminta keamanan daripada Muhammad s.a.w. Dan Rasulullah telah berjanji untuk memberikan gelang Kisra Parsi kepada Suraqah suatu hari nanti. Allahuakbar. Ternyata kata-kata yang diucapkan oleh Rasulullah Al Amin itu benar. Pada zaman Saidina Umar r.a, Parsi telah jatuh ke tangan Islam dan salah satu harta rampasan perang ialah gelang tangan kisra. Jadi, Umar memanggil Suraqah yang telah memeluk Islam pada waktu itu untuk dipakaikan gelang tangan kisra  dan Umar meminta agar Suraqah menceritakan apa yang telah disebut oleh Rasulullah s.a.w semasa peristiwa hijrah dahulu.


Di Hudaibiah, tempat berlakunya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6H antara Rasulullah dan wakil Quraisy iaitu Suhail b Amr. Apabila Rasulullah melihat Suhail, Baginda tersenyum sambil bersabda: "Insya Allah, hari ini urusan kita dimudahkan" kerana Suhail itu bererti mudah. Ini menunjukkan bahawa Islam menyukai nama yang membawa maksud baik dan indah.


23 Mac 2011
Ceramah yang bertajuk "Anda Seorang Muslim" oleh Al Fadhil Dr Basit. Ceramah ini bertujuan untuk muhasabah kembali setelah 7 hari berada di bumi Mekkah Al Mukarramah dan memberi peluang kepada jema'ah Ash Har jika ada kemusykilan tentang umrah, terutamanya berkenaan dengan pantang larang dalam ihram serta dam. Ustaz turut memberikan beberapa cara agar dapat istiqomah selepas umrah dengan ibadah yang dilakukan sebagaimana 2 minggu di Madinah dan Mekkah ini. 

Hari itu juga merupakan hari keluarnya keputusan SPM. Tahniah kepada adik, Maryam Saidah kerana telah mendapat straight A's (11A). Semoga kejayaan ini diredhai Allah dan bukanlah menjadi istidraj dalam kehidupanmu. Teruskan cita-citamu untuk menjadi seorang pakar ekonomi Islam yang berjaya dunia akhirat.

Hari itu juga merupakan hari yang amat genting kerana aku dan Husni telah memasang tekad untuk khatam Al Quran di Masjidil Haram dalam masa 8 hari. Esok kami akan bertolak pulang sedangkan aku baru masuk Juzuk 20 manakala Husni dah masuk Juzuk 22, maklumlah dia dah hafiz Quran. Jadi, hari itu digunakan sepenuhnya dengan membaca Al Quran . Aku dan Husni tidak balik ke hotel selepas Asar kerana bertungkus lumus untuk menghabiskan 30 juzuk Al Quran ini, maklumlah, tidak sampai 24 jam lagi kami akan meninggalkan bumi Mekkah ini kerana kami akan bertolak esok seawal jam 10 pagi

Bergambar di tingkat atas Masjidil Haram untuk berehat sebentar selepas penat bertungkus lumus mengaji Al Quran


Terasa sedih untuk meninggalkan Tanah Suci ini esok hari. Pelbagai pengalaman dan kenangan di sini. Sedikit gambar dan suasana di sekitar masjid:

Masjidil Haram dalam proses penambah baikan dan pembesaran kawasan masjid untuk menampung jema'ah yang makin bertambah, sekaligus menjadi bukti Islam makin berkembang. Terima kasih Ya Rasulullah, tanpa pengorbanan dan penat lelahmu, mungkin kami tidak dapat kecapi nikmat iman dan nikmat Islam sebagaimana hari ini.  


Seronok pula tengok pekerja-pekerja di Masjidil Haram ni, dapat solat di Masjidil Haram 5 waktu setiap hari. Waktu rehat mereka ialah waktu solat. Bagi penganggur Malaysia yang belum ada kerja lagi, cuba la apply kerja kat sana. Sesungguhnya, Nabi telah bersabda: "Solat di Masjidil Haram lebih afdhal daripada 100 ribu kali solat di masjid lain".



Ini pula gambar kereta yang tugasnya untuk mengemop dan mencuci lantai masjid. Semoga Allah merahmati semua pekerja yang mewakafkan diri untuk kerja-kerja di Masjidil Haram.


Suasana pembersihan di dalam Masjidil Haram. Uniform hijau bagi pekerja yang ditugaskan untuk melakukan pembersihan masjid dan uniform putih kelabu bagi pekerja yang menguruskan air zamzam di kawasan masjid.


Siaran langsung 24 jam di Masjidil Haram. Jadi, tetap dapat tengok suasana di masjid walaupun berada di dalam bilik di hotel
24 Mac 2011
Kami keluar untuk tawaf wada' pada pukul 8.30 pagi. Terasa sangat sayu mengenangkan inilah tawaf terakhir sebelum meninggalkan tanah kelahiran Rasulullah ini. Bercucuran air mata sewaktu berdoa selepas solat sunat tawaf wada':  

"Ya Allah, sesungguhnya rumah ini adalah RumahMu dan hamba ini adalah hambaMu. Engkau telah permudahkan segalanya untukku sehingga membawa dan menyampaikan aku ke negeriMu ini dan dengan nikmat Engkau jualah, Engkau membantuku untuk menunaikan semua manasik umrah. Jika Engkau redha akan amalanku ini, maka tambahkanlah keredhaanMu untukku. Maka sekarang jualah, Engkau redhailah aku sebelum Engkau membawa aku jauh dari RumahMu ini. Ya Allah, sesungguhnya inilah masa keberangkatan pulangku. Janganlah Engkau jadikan kali ini adalah kali terakhir aku berada di Tanah Haram ini, permudahkan padaku jalan untuk kembali menziarahi dua tanah haramMu ini. Amin Ya Rabb"

Ahamdulillah, akhirnya berjaya juga aku dan Husni mengkhatamkan Al Quran 30 juzuk pada hari itu setelah bertungkus lumus menghabiskan bacaan sebanyak 10 juzuk dalam masa sehari. Alhamdulillah, misi kami tercapai: kenangan Al Quran yang dibeli di Madinah dan khatam di Masjidil Haram. Semoga setiap huruf Al Quran itu menjadi penghapus dosa dan Allah menggantikannya dengan kebaikan. Ya Allah, terimalah 'amal kami dan muliakanlah kami dengan Al Quran. 


            
                Husni tekun mengaji


Iktikaf di masjid antara Asar dan Maghrib untuk khatam








Tepat jam 10 pagi, kami menaiki bas meninggalkan bumi barokah Mekkah Al Mukarramah. Selamat tinggal tanah mulia kelahiran Rasulullah, kami pasti merinduimu. Ya Allah, murahkan rezeki kami agar kami dapat kembali menziarahi Baitullah untuk beribadat kepadaMu. Ampunkanlah dosa kami dan selamatkanlah perjalanan kami ini. 
SELAMAT TINGGAL BUMI MAKKAH AL MUKARRAMAH. Kami pasti merinduimu


Gambar pemandangan di Jeddah yang diambil dari atas bas. Kelihatan pokok tumbuh subur di sepanjang jalan. Nabi pernah bersabda: "Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi rerumput dan sungai-sungai". Allahuakbar, sungguh banyak pengajaran yang aku dapat sepanjang musafir ini.
Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di Masjid Biru yang terletak di tepi Laut Merah di Jeddah. Pemandangan sekelilingnya sungguh cantik ditambah pula dengan angin sejuk yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Subhanallah..

Makan tengah hari di lapangan terbang Jeddah sebelum flight ke Jordan. Nasi dan lauk yang simple, tapi sedap


Suasana di lapangan terbang Jeddah. Kami akan dibawa menaiki bas dahulu untuk naik kapal terbang. Perjalanan dari Jeddah ke Jordan mengambil masa kira-kira 2 jam. Kami tiba di Lapangan Terbang 'Amman pada waktu malam. Cuaca di Jordan tersangatlah sejuk kerana hujan. Kami dibawa berehat ke hotel untuk makan malam dan tidur sebentar sebelum bertolak pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, sempat juga melelapkan mata sekejap. 

Dalam pukul 3.45 pagi (waktu Jordan), kami berlepas dari Queen Alia Airport. Selamat tinggal Jordan.
Alhamdulillah, setelah 11 jam di atas kapal terbang, akhirnya kami tiba dengan selamat di KLIA. Pada malam itu, kami yang perempuan ini tidur di rumah Che Da, manakala Abi, Husni dan Abe tidur di KLIA kerana menjaga beg. Keesokan paginya seawal jam 7 pagi, kami bertolak dari KLIA ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Pengkalan Chepa. 

Kepulangan kami disambut oleh adik-adik (Musa, Fahim dan Kamil) dan saudara mara. 


Zahrah tersenyum ayu manakala Jazli tersenyum malu. Walaupun penat, terhibur melayan sepupu-sepupu yang cilik ini di taman permainan di airport. 


Sampai je di rumah Tok Wan, rupanya Che Ani, Che Su dan Che Long dah siap hidang nasi minyak untuk menyambut kepulangan kami dari jauh. Terima kasih semua. Setelah 2 minggu makan makanan Arab dan Indon, akhirnya dapat juga melepaskan rindu pada masakan Melayu. Jeligho molek..

....................................................................................................................................................

Alhamdulillah, siap akhirnya catatan kembara perjalanan umrah ziarah Jordan, Madinah dan Mekkah dari 11 Mac hingga 26 Mac 2011. Moga diredhai Allah. Terima kasih pada semua yang telah mendoakan perjalanan kami. Dan jutaan terima kasih kepada pembimbing Ash Har Travel (Dr Abd Basit, Ustaz Abd Moin,Ustaz Fakhrurazi dan Ustaz Wardanie). Semoga Allah merahmati kalian. Segala yang baik dari Allah Ta'ala dan yang kurang baik itu dari kelemahan diri. 

"SESUNGGUHNYA, BUMI ALLAH ITU LUAS (UNTUK BERHIJRAH)
(Az Zumar: 10)

16 comments:

  1. coretan ini sangat bermakna.
    semoga cita-cita utk ke sana akan tercapai jua.

    ReplyDelete
  2. dlm bnyk2 gmbr, husni nmpkm paling tinggi..kalah pak arab.

    ReplyDelete