Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah memberi peluang pada diri yang penuh dosa ini untuk menjejakkan kaki ke bumi barokah Madinah Al Munawwarah dan Makkah Al Mukarramah serta Jordan bumi para anbiya' bersama keluarga dari 11 hingga 25 Mac 2011 baru-baru ini. Banyak ilmu dan 'ibrah yang dapat sepanjang berada di sana. Tambahan pula, pembimbing kami ialah Al Fadhil Dr Abd Basit Abd Rahman atau lebih dikenali dengan nama Abu Anas Madani, seorang ustaz lulusan master dan phD (Syariah) Universiti Islam Madinah, musyrif Pondok Sungai Durian, Kelantan, Pensyarah KIAS serta beliau juga dikenali ramai melalui program 'Tanyalah Ustaz TV9, menjadi penceramah undangan di radio IKIM dlm program 'Pondok Warisan' dan ustaz banyak menulis buku termasuk buku Makkah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawwarah, kelebihan dan sejarah. Terima kasih ustaz.
Insya Allah, sedikit sebanyak pengalaman di sana akan dikongsi bersama biiznillah. Jauh perjalanan, luas pandangan. Sungguh, terlalu banyak bukti yang Allah mahu tunjukkan pada hamba-hambaNya agar kita mengambil iktibar dari kisah para Nabi, sahabat dan salafussoleh terdahulu. Hanya manusia yang celik hatinya dapat merasai hikmah di sebalik sesuatu peristiwa itu.
11 Mac 2011
Hari yang sungguh istimewa kerana pada hari itu, kami akan bertolak ke 'Amman, Jordan dan juga Hari Lahir Ummi yang ke 48. Terima kasih Ummi Abi atas segala jasa dan pengorbanan ummi abi mendidik dan membesarkan kami 8 beradik. Halalkan segalanya dan doakan kami dunia akhirat. Kami berjanji akan menjadi anak soleh solehah, penyejuk di mata penawar di hati dan berjaya menjadi insan berguna pada ummah sejagat, insya Allah. Tak lupa, terima kasih pada semua yang menghantar kami di airport: ayah su dan zahrah, ayah zin dan teh, ayah cik, teh dan ayah teh, sujah dan ayah su, abe long dan kak dani serta kak cik, abe syafiq dan damia si mata bulat. Flight kami (Royal Jordan) berlepas dari KLIA pada pukul 11 malam.
12 Mac 2011
Alhamdulillah, setelah 11 jam di dalam flight, akhirnya kami tiba di airport Queen Alia, 'Amman Jordan lebih kurang pukul 5.30 pagi (waktu Jordan). Setibanya di airport, ustaz mengarahkan kami agar terus solat Subuh kerana waktu Syuruk hampir tiba. Keadaan bertambah kalut kerana tandas di airport tidak disediakan air. Allahuakbar, ujian pertama. Selepas itu, kami dibawa ke hotel Golden Tulip untuk berehat dan sarapan pagi. Pada jam 8.30 pagi, kami dibawa melawat ke Ashabul Kahfi, makam Nabi Syu'aib, Laut Mati dan singgah di kedai cenderamata. Kami juga sempat mengetahui cerita tentang Perang Mu'tah secara lebih lanjut.
|
Abi dan Husni bersama anak anak ustaz di depan hotel. Suhu di Jordan masih sejuk biarpun sekarang musim peralihan dari musim sejuk ke musim bunga, lebih kurang 11 'C |
Dr Basit sedang memberi penerangan di hadapan pintu masuk gua Ashabul Kahfi.
Kami sempat celup kaki dalam Laut Mati. Tempat paling rendah di bumi setelah diterbalikkan oleh malaikat Jibril angkara perbuatan jahat kaum Nabi Lut yang melakukan homeseksual. Dari sini, kami dapat lihat negara haram Israel di hujung Laut Mati dan batu putih yang dapat dilihat itu ialah garam.
Ziarah dan solat Zuhur di masjid makam Nabi Syua'ib
Pada jam 8.45 malam, kami menaiki flight ke Jeddah setelah seharian ziarah 'Amman. Tiba di lapangan terbang Jeddah dalam pukul 11 malam dan seterusnya kami menaiki bas menuju ke Madinah. Alhamdulillah, subuh keesokan harinya kami tiba di bumi Madinah, tempat yang diwahyukan oleh Allah agar Nabi berhijrah setelah ditentang hebat hebat oleh kaum Quraisy di Mekkah. Allahuakbar !
13 Mac 2011
Sarapan pagi di hotel Royal Dyar. Setelah rehat sekejap, kami turun awal dari hotel, lebih kurang pukul 11 pagi untuk iktikaf di Masjid Nabawi sebelum masuk waktu Zohor.
"Assalamu'alaika ya Rasulullah.. Bibirku bergetar-getar. Manik2 jernih keluar tanpa dipinta. Teresak-esak. Langsung aku tak endahkan pada mata lain yang memandang.
|
Ya Rasulullah,
aku datang menziarahi masjid tempatmu bersemadi,
aku datang kerana rindu dan cinta padamu kekasih Allah,
aku datang kerana ingin beribadah di masjid mulia ini,
kerna pahala solat di masjid ini 1000x lebih baik daripada solat di masjid lain,
terimalah aku sebagai tetamu bumi barokah ini
Ya Rasulullah,
tatkala pertama kali menjejakkan kaki di masjid Nabawi ini,
dadaku sebak, air mata jatuh bercucuran,
teringat kisah pahit getir hidupmu,
seorang Nabi yang terlalu banyak berkorban untuk kami,
kau sering dicaci dan dikeji kerana Islam,
kau pernah diludahi kerana Islam,
kau pernah dilempari najis unta sewaktu solat kerana Islam,
kau pernah dipulaukan selama 3 tahun kerana Islam,
kau pernah dilontari batu di Taif kerana Islam,
kau pernah terluka di medan Uhud kerana Islam,
darahmu pernah mengalir membasahi bumi,
namun kau tetap tabahkan hati
mulianya hatimu wahai pesuruh Allah,
luhurnya budimu kekasih Allah,
sedang aku???
seorang umat yang penuh dosa,
sering lalai dengan dunia,
selalu menginginkan kesenangan semata,
maafkan umatmu ini Ya Nabiyullah,
maafkan aku Ya Rasulullah
Najah Solihah Mohd Hamdan, Madinah Al Munawwarah, 13 Mac 2011
Pada malam itu pula, kami bersama jema'ah muslimat lain dibawa oleh 2 orang ustazah ke Raudhah selepas Isya'. Alhamdulillah, kami sempat solat sunat di Raudhah walaupun sesak dengan orang ramai. Raudhah ini merupakan salah satu taman syurga dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah.
|
Husni sempat ambil gambar tiang wangi, tempat berlakunya peristiwa pokok tamar menangis. Dinamakan tiang wangi kerana para sahabat selalu menyapu minyak wangi sebagai tanda tempat solat Rasulullah |
|
|
Bergambar sewaktu awal pagi sebelum Subuh. Qiamullail menjadi satu kewajipan di sana. Cabaran: mampukah untuk aku terus istiqomah dengan qiamullail sekembalinya dari umrah ini? Sesungguhnya, amalan yang paling dicintai Nabi ialah amalan yang dilakukan secara istiqomah. Allahummar zuqnal istiqomah (Ya Allah, rezekikan aku istiqomah) |
14 Mac 2011
Kami dibawa menziarahi Masjid Quba', Bukit Uhud dan ladang kurma.
|
Bergambar kenangan cukup 8 sekeluarga bersama Dr Basit dan 2 orang anaknya setelah selesai solat sunat Dhuha di masjid yang sering Nabi ziarahi. Sabda Nabi: "Sesiapa yang berwudhu' di rumahnya, kemudian pergi ke masjid Quba' untuk bersolat, akan diberi ganjaran pahala seperti pahala menunaikan umrah".
|
|
Telaga Aris terdapat di sekitar kolam di depan masjid quba'. Peristiwa di mana Rasulullah sedang duduk di pinggir telaga ini dengan kakinya terjuntai ke bawah. Kemudian, Saidina Abu Bakar r.a datang dan seterusnya Saidina Umar r.a datang duduk di sebelah Rasulullah. Baginda mengkhabarkan berita gembira bahawa mereka dijamin syurga. Kemudian, datang Saidina Usman r.a dan Rasulullah juga menjaminkan syurga untuknya kerana musibah dan fitnah yang bakal menimpa dirinya. Beliau duduk berhadapan dengan mereka bertiga kerana tempat di sebelah Rasulullah sudah penuh. Sewaktu tahun ke-6 pemerintahan Saidina Usman, cincin yang diwarisi daripada Rasulullah terjatuh ke dalam telaga sewaktu beliau sedang duduk di pinggir telaga itu. Benarlah sepert kata-kata Rasulullah, sejak hari itu, berlaku huru hara dan fitnah ke atas beliau hingga akhirnya beliau syahid dibunuh. Selain itu, peristiwa ini juga menjadi sebab makam Saidina Usman diasingkan di perkuburan Baqi', bukannya di sebelah makam Rasulullah sebagaiman Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar | |
|
|
|
|
Perkuburan 70 orang syuhada' Uhud: Saidina Hamzah, Abdullah b Jubair, Mus'ab b Umair dan para syuhada' lain dimakamkan di dalam kawasan pagar ini. Dahulu, pernah diceritakan terdapat seorang lelaki menggali kubur di kawasan sekitar medan Uhud ini, tiba- tiba darah terpercik keluar. Tahulah mereka bahawa mayat itu ialah mayat syuhada' Uhud yang telah syahid beratus tahun dahulu, tapi mayat mereka masih tidak reput. |
|
Bukit Rummah. Rasulullah mengarahkan 50 orang pemanah yang diketuai oleh Abdullah b Jubair agar jangan sesekali turun dari bukit ini walau apa pun yang terjadi. Tapi akhirnya, tentera Khalid al Walid berjaya menyerang balas tentera Islam setelah tentera Islam turun dari bukit itu untuk mengumpul harta yang ditinggalkan musuh. Hanya Abdullah b Jubair dan 10 orang pemanah sahaja bertahan di atas bukit itu dan akibatnya, seramai 70 orang syahid di medan Uhud.
Kami dibawa menaiki Bukit Rummah. Di atas sana, ustaz meminta kami menghadap ke arah Bukit Uhud dan perkuburan syuhada' Uhud sambil ustaz bercerita mengimbau kembali sejarah berdarah yang berlaku dalam Perang Uhud beratus tahun dahulu. Kisah yang sangat menyayat hati sehingga ramai yang menitiskan air mata memikirkan pengorbanan Nabi dan para sahabat dahulu yang sanggup berkorban nyawa demi pertahankan dan perjuangkan agama Allah supaya Islam tertegak di muka bumi ini. Supaya semua manusia hari ini dapat mengenali Tuhan mereka yang sebenar dan kembali mentaatiNya. Supaya umat akhir zaman ini selamat dari azab dan murka Allah.Tapi, apakah balasan kita untuk pengorbanan dan darah mereka? Kita hanya mahu hidup bersenang lenang hidup di dunia tanpa memikirkan urusan agama Allah, sedangkan mereka berjuang bermati-matian demi Islam. Nabi sendiri telah terjatuh ke dalam lubang yang digali oleh Abu Amir Al Fasiq sehingga patah gigi Nabi, Hanzalah yang merupakan pengantin baru telah syahid sehingga mayatnya ketika ditemui Nabi basah kerana dimandikan oleh para malaikat, Ummu Nusaibah bangun pertahankan nabi sehingga bahunya ditetak, Abu Dujanah telah lindungi Nabi sehingga belakangnya penuh dengan anak panah seperti belakang landak, Anas b Nadr syahid dengan 83 tikaman dan banyak lagi kisah lain yang menyayat hati.
Pada malam itu, diuji dengan kesakitan apabila betisku dipijak oleh seorang mak cik Turki sewaktu sedang duduk tahiyyat akhir ketika solat sunat. Habis segala urat kaki tersimpul mati. Allahurabbi, sakitnya terasa sewaktu berjalan kaki ulang alik dari hotel ke masjid, kebetulan pula tandas dan tempat ambil wudhu' jauh di luar kawasan solat. Tapi, bila teringat pesan Kak Najihah Hasanah: "Setiap orang pasti ada ujiannya di sana nanti, bukan senang nak jadi tetamu Allah dan tetamu Rasulullah. Banyakkan bersabar, istighfar dan berdoa atas segala ujian yang berlaku". Ya, aku terfikir, mungkin rasa sakit ini adalah salah satu cara Allah nak hapuskan dosa-dosaku. Lagipun, Nabi pernah bersabda: "Setiap langkahan kaki ke masjid akan diampunkan dosa dan diangkatkan darjatnya di sisi Allah". Insya Allah, moga Allah kurniakan maghfirah pada diri yang sering lalai ini. Pada malam itu juga, ada sedikit kuliah "Anda di bumi Madinah Al Munawwarah" yang disampaikan oleh Al Fadhil Dr Abd Basit. Ustaz banyak menceritakan kelebihan dan peristiwa bersejarah yang berlaku di Madinah dan juga ulang kaji untuk umrah nanti. Ramai yang mengantuk pada waktu itu, mungkin saja kerana terbiasa dengan waktu Malaysia yang sepatutnya tidur pada waktu itu (9.30 malam Madinah sama dengan 2.30 pagi Malaysia). Walaubagaimanapun, Alhamdulillah aku hanya mengantuk 10 minit sebelum kuliah itu habis. Banyak juga input yang dapat, kebetulan ustaz banyak menceritakan kisah sirah hidup Baginda dan para sahabat yang sememangnya aku minat. |
| | | |
|
|
15 Mac 2011
Ziarah khas: Masid Quba', kubu Ka'ab b Ashraf, Empangan Buthan dan Lembah Jin.
|
Kubu Ka'ab b Ashraf, seorang pemimpin Yahudi Bani Nadhir yang sering menghina Islam, menghasut orang Yahudi agar mengkhianati perjanjian dengan Nabi dan membuat pakatan bersama Quraisy untuk memerangi Rasulullah. Kubu ini sering menjadi tempat pertemuan antara pembesar Yahudi dan Quraiys untuk merancang misi memusnahkan ajaran Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. Akhirnya, Nabi meminta agar Ka'ab dibunuh dan Muhammad b Maslamah sanggup menawarkan diri. Dengan taktik yang tersendiri, Ka'ab berjaya dibunuh. | | | |
|
|
Makan ais krim di Wadi Jin. Perkara pelik yang berlaku, bas bergerak sendiri walaupun sewaktu menaiki bukit. Ustaz kata ada kaitan dengan optical illusion. Wallahua'lam |
|
16 Mac 2011
|
Kami 3 beradik berjalan mengelilingi Masjid Nabawi . Singgah sebentar di luar perkuburan Baqi' untuk memberi salam kepada ahli Baqi' dan para syuhada' di Baqi'. Masya Allah, luasnya Masjid Nabawi. Walaupun betis masih terasa sakit bahana mak cik turki, tapi kesakitan itu hilang dek kerana rasa takjub melihat indahnya Masjid Nabawi. Selepas itu, kami membeli Al Quran sebagai kenangan di Madinah dan berazam untuk khatam 30 juzuk di Mekah nanti biiznillah.
Gambar terakhir di depan masjid Nabawi. Suasana yang kalut di depan muka pintu (Bab Usman 'Affan) kerana terpaksa melepasi halangan polis penjaga pintu dan bergelut dengan mak cik- mak cik Turki dan Iran yang berbadan besar. Kami yang kecil ini sering dihimpit dan ditolak. Pernah sekali terpaksa bergelut di situ selama 15 minit. Yang peliknya, proses checking ini hanya berlaku di depan pintu masuk muslimat sahaja, muslimin tiada. Entah apalah yang mereka cari. Pengalaman menarik di masjid Nabawi (^_^)
Kami menaiki bas menuju ke Mekkah selepas solat jama' Zohor Asar di Masjid Nabawi. Terasa sayu sewaktu hendak meninggalkan masjid Nabawi, sebuah tempat di mana bersemadinya jasad mulia Rasulullah s.a.w. Menitis air mata sewaktu membaca doa ketika hendak meninggalkan bumi Madinah Al Munawwarah: "Ya Allah, janganlah Engkau jadikan kali ini adalah kali terakhir aku berada di tanah haram Rasulullah, permudahkan padaku jalan untuk kembali menziarahi tanah ini, rezekikanlah padaku maghfirah dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat".
SELAMAT TINGGAL BUMI MADINAH, tanah kecintaan Rasulullah. Kami pasti merinduimu dan akan kembali padamu nanti dalam masa terdekat. Insya Allah..
p/s: post untuk di Mekkah selepas ini insya Allah, tunggu abi beli buku Mekkah yang tertinggal di atas bas di Ja'ranah.. |
No comments:
Post a Comment