Saturday, 4 June 2011

persediaan menghadapi madrasah Ramadhan

Alhamdulillah. Hari ni dah masuk 3 Rejab. Tak sampai 2 bulan lagi kita akan sambut Ramadhan, bulan yang penuh berkat  اللهم بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ. Manfaatkan tempoh waktu yang ada ini untuk memperbaiki diri yang sering saja lalai daripada mengingati Allah Ta’ala.

Jujur dengan diri bila muhasabah sejauh mana hubungan kita dengan Ilahi. Setakat mana respond kita pada seruan Allah Ta’ala. Bersungguh-sungguh atau sering bertangguh? Buktinya, sewaktu bilal melaungkan azan, diri masih terasa berat untuk segera bangun menyahut seruan Ilahi. Nafsu sentiasa memujuk supaya tunggu sekejap lagi. Teringat kata-kata Habib Ali Al Jufri:Mukmin yang benar-benar mencintai Allah itu sentiasa menunggu masuknya waktu solat kerana ia bermakna saat pertemuan dengan Kekasihnya semakin hampir. Dan juga kamu akan merasa tenang sewaktu sedang solat, bukannya selepas solat”. Tapi, bagaimana keadaan kita? Solat yang cuma 10 minit itu saja kita tidak mampu untuk khusyuk sepenuhnya, dan masih terasa berat untuk duduk sekejap berzikir panjang seusai solat.  Jiwa tidak merasai ketenangan yang sebenar sewaktu solat. 

Lagi, setakat mana masa yang kita peruntukkan masa dengan Al Quran. Mana lebih sedap, 1 jam membaca Al Quran atau 1 jam tengok movie? Terkesan dengan kata-kata seorang ulama’: “Hati yang bersih itu tidak akan merasa kenyang dengan Al Quran”. Mungkinkah maksiat yang dilakukan telah menghalang hidayah Allah sampai ke hati sehingga menyebabkan kemanisan ibadah itu tidak mampu dirasai. Allahummaghfirli. Malunya dengan Allah. Bukan menuding jari pada orang lain. Menulis sebagai muhasabah dan berleter pada diri sendiri yang sering saja berjanji dengan Allah untuk bertaubat, tapi sering pula dimungkiri. Lantaran itulah, diri sentiasa mahu bertangguh untuk membaca Al Quran hingga selalu sahaja kesempatan yang ada luput begitu sahaja. Teringat kisah seorang hamba Allah telah melihat Umar Abdul Aziz yang kelihatan penat setelah melakukan banyak kerja. Lelaki itu kemudiannya berkata: Wahai Umar, tanggunglah kerja ini pada esok hari. Kamu kelihatan penat sekali. Lalu Umar menjawab:Kerja yang sehari ini saja telah buatkan aku penat. Bagaimana pula jika aku tangguhkannya pada esok hari dan terhimpun ke atasku kerja 2 hari? Pasti lagi memenatkan. Allahuakbar. Iktibar yang cukup bermakna buat diri yang suka bertangguh.

Tarbiyyah diri sebelum memasuki madrasah Ramadhan. Mencari kemanisan dalam beribadah agar mampu istiqomah dalam melakukan ketaatan pada Allah dan meninggalkan perkara yang dimurkaiNya. Mahalnya harga istiqomah kerana ia memerlukan mujahadah dan keikhlasan dalam diri. Harapan dan azam yang tinggi, moga Ramadhan kali ini menjadi turning point untuk diri ini lebih dekat dengan Allah Ta’ala dan menjadi mukmin bertaqwa. Bimbang tergolong dalam golongan yang tidak mampu menghidupkan hatinya dengan kebaikan meskipun berada dalam bulan Ramadhan.

Dengar lagu ramadhan ini menggamit rasa rindu untuk berada dalam bulan yang penuh rahmat itu. Lagipun, tahun ini pertama kalinya akan dapat puasa penuh di rumah setelah 7 tahun puasa di asrama. Ya Allah, panjangkan umur kami agar dapat berada dalam bulan Ramdhan nanti untuk memohon keampunanMu.

No comments:

Post a Comment