Wednesday, 11 May 2011

indahnya hidup bertalaqi.

Alhamdulillah. Semalam sempat bersama-sama duduk dalam majlis ilmu talaqi buat kali terakhir di UIA PJ sebelum kami say tata to PJ. Jazakallah khairan jaza’ buat murabbi al fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll yang telah banyak membantu dan membimbing kami mengenal bidayatul hidayah (permulaan hidayah).

Insya Allah, saya cuba berkongsi serba sedikit ilmu yang dapat semalam. Moga ia dapat menjadi pengubat rindu pada sahabat-sahabat lain yang dah lama tinggalkan UIA PJ untuk mendengar kalam tasyji’ dari al fadhil Ustaz Muhadir. Dan juga usaha kecil untuk mengajak adik-adik junor supaya istiqomah dengan talaqqi ini. Indahnya hidup bertalaqi kerana inilah peluang untuk kita melihat wajah guru kita, mendapatkan ilmu akhirat setelah seminggu kita bergelumang dengan buku dan assignments, serta inilah masa kita dapat berjumpa dengan ramai sahabat. Berukhuwwah atas dasar aqidah. Ukhuwwah yang bakal menaungi kita di padang mahsyar kelak, bukanlah ukhuwwah retorik semata.

Semalam, ustaz memulakan majlis dengan membaca hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w beribu tahun dahulu iaitu Islam datang dalam keadaan dagang (asing) dan berakhir dengan dagang (asing). Maka beruntunglah orang yang dagang (asing). Di sini, ustaz mengingtkan semua ahli pengajian agar istiqomah dengan cara hidup Islam sebenar walaupun hari ini terlalu sedikit golongan seperti ini. Buktinya, kita pasti kelihatan janggal kerana berbaju kurung bertudung labuh (bagi perempuan) dan berkopiah (bagi lelaki) bila berada di shopping complex. Kita pasti dipandang pelik jika kita membuka Al Quran dan membacanya sewaktu menunggu bas atau ketika berada di kafe. Dunia hari ini dah terbalik. Kenapa ramai manusia yang tidak malu untuk tonjolkan identiti fasiq, tapi malu untuk menonjolkan identiti taqwa dan iman? Jangan lupa akan janji Allah.  Jika hari ini orang yang fasiq ini sering memandang pelik dan mentertawakan orang beriman (yang menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai pedoman hidupnya dan orang yang berpakaian dengan pakaian sunnah), akan datang suatu hati nanti, mereka inilah pula yang akan mentertawakan orang fasiq sebagaimana janji Allah dlm surah Al-Mutoffifin: 29-34: “Sesungguhnya, orang yang derhaka, mereka selalu mentertawakan orang beriman. Dan apabila orang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan mencemuhnya…… Maka pada hari ini, orang beriman pula mentertawakan orang (derhaka) itu

Ustaz juga ada mengingatkan ahli pengajian agar berhati-hati menjaga diri dari berbuat maksiat. Ustaz memetik kata-kata dari Habib Ali ibn Jaafar bahawa karomah bukanlah milik mutlak waliyullah sahaja kerana kita sebagai orang biasa ini juga mampu memiliki karomah. Tanda karomah ialah apabila kita dapat memastikan sepanjang hari itu kita taat pada perintah Allah dan tidak berbuat maksiat pada Allah. Agak-agak mampu tak kita untuk mencapai tahap itu, menjaga seluruh anggota badan kita daripada derhaka kepada Allah sepanjang hari? Kita jaga dahulu yang zahir, insya Allah, Allah akan jaga yang batin. Maksudnya, jaga dulu anggota zahir kita seperti tangan, kaki, mulut, telinga, dan mata. Insya Allah, moga-moga Allah kurniakan kita hati yang bersih daripada sifat yang membinasakan iaitu ujub, riya’ dan hasad. Sesungguhnya, Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Tiada ibu yang akan bagi makanan yang telah bercampur dengan sedikit najis pada anaknya kerana kasihnya seorang ibu pada sang anak. Namun, kita hendaklah ingat bahawa kasih sayang Allah mengatasi segalanya ia melebihi dari kasih sayang seorang ibu pada anak. Buktinya, kita tetap mendapat nikmat makan dan minum, nikmat udara dan banyak lagi nikmat lain meskipun kita sering menunda solat di akhir waktu. Allahurabbi..

Ustaz juga menasihati kami agar sentiasa mujahadah dalam menjaga hati ini agar hati kita sentiasa dipagari dengan iman dan taqwa. Imam Haddad pernah memberi perumpamaan bagaimana cara untuk mendapatkan hati yang bersih dan disuluhi dengan nur Allah. Beliau mengatakan bahawa: “Jika kamu mendatangi penjual madu dengan bekas yang kotor, pasti penjual itu meminta kamu pulang untuk bersihkan dulu bekas yang kotor itu agar ia dapat diisi dengan madu nanti. Sama seperti hati kita. Bersihkan dulu hati daripada sifat mazmumah, pasti Allah letakkan ilmu dan kurniakan cahaya pada hatinya”. Apa yang penting, doronglah hati dan didiklah hati dengan zikir, mujahadah, ilmu tasawuf, dan dapatkan bimbingan dari guru yang mursyid. Keempat-empat perkara ini yang akan menjadi antivirus hati yang akan menghalang hati daripada dicemari dengan virus dunia dan maksiat pada Allah. Jadi, jangan lupa untuk update antivirus setiap hari. Jika laptop dijangkiti virus, pasti gelisah dan tenteram. Namun, jika hati kita dijangkiti virus maksiat, apa tindakan kita? Tepuk dada, tanya iman.

Ustaz juga menerangkan pada kami kepentingan untuk belajar ilmu feqah dan ilmu tasawuf (tazkiyatun nafs iaitu ilmu pembersihan hati untu lebih dekat dengan Allah) sekaligus. Imam Malik pernah berkata bahawa "Siapa yang bertasawuf tanpa memahami feqah, sesungguhnya dia kafir zindi. Siapa yang mempunyai feqah tanpa bertasawuf sesungguhnya dia fasiq. Siapa yang menghimpunkan keduanya (tasawuf dan feqah) nescaya dia tahkik".
Di akhir kalam, ustaz mengingatkan semua ahli pengajian agar ikhlas, beramal dengan ilmu yang dipelajari dan istiqomah dengan amalan tersebut. Kalau kita nak dapatkan segulung ijzazah, kita kenalah belajar sungguh-sungguh untuk mencapai impian itu. Benda yang berharga ini bukanlah mudah seperti yang disangka. Ia memerlukan banyak pengorbanan dan mujahadah serta penuh dengan pelbagai rintangan yang menguji kekentalan hati. Sama seperti syurga. Perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis. Kita dihidang dengan pelbagai keseronokan dunia. Jika tak didasari iman dan taqwa, pasti diri kita hancur binasa dalam fitnah dunai hari ini yang amat mencabar.  Pesan ustaz buat kali terakhir ialah sucikan hati dan cintakan Nabi dan ahlul bait.
........................................................

Akhirul kalam, terima kasih buat semua sahabat yang telah bertungkus lumus berusaha untuk memastikan kelangsungan talaqi di UIA PJ. Jazakumullah khairan jaza'. Dan juga buat semua sahabat yang sentiasa istiqomah dengan majlis ilmu ni. Moga kita semua bakal berjumpa dan dinaungi di akhirat kelak bersama orang yang kita cintai iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Pesanan juga buat diri dan sahabat yang hidup dalam suasana yang penuh mencabar, carilah majlis ilmu untuk lembutkan hati dan menambahkan lagi rasa cinta kita pada ilmu. Redha Allah kita cari, murka Allah kita jauhi. 


2 comments:

  1. Syukran Dik atas perkongsian dari Kak Siti Fatimah Binti Abd. Ghaffar.Moga Entum jua akan istiqamah=)

    ReplyDelete
  2. afwan. Alhmdulillah. Moga perkongsian yg sikit ni jd byk klu disampaikan pd org lain.

    ReplyDelete