Saturday, 2 July 2011

BERSIH dan Isra' Mi'raj

Semua sibuk bercakap tentang BERSIH. Gotong royong nak bersihkan negara daripada segala perbuatan khianat. Amat tertarik dengan tuntutan ke-5 iaitu akses media yang bebas dan adil dan juga tuntutan ke-7 iaitu hentikan rasuah. Benar, kadang terasa menyampah bila tengok buletin utama. Pasti isu politik yang telah diputar belit yang akan ditayang pada masyarakat umum. Rasuah berleluasa. Keaiban muslim dijaja demi kepentingan tertentu. Para artis yang mengabaikan syariat Allah pula yang dipromosikan di segenap media. Tengoklah hari ini, berapa banyak drama, movie dan iklan yang menayangkan wanita muslimah yang berbaju tapi bertelanjang. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan jadi satu budaya, hinggakan sang pelakon yang dah berkahwin pun boleh lagi peluk dukung wanita lain. Patutlah 'baitul muslim' artis Melayu kini goyah. Baru dijentik sedikit, akhirnya percintaan bertahun-tahun lamanya itu hilang begitu saja.

Tersangatlah jauh hidup umat Islam hari ini berbanding umat Islam zaman gemilang khilafah Islamiyyah dulu. Apakah masih wujud sosok pemimpin seperti Umar Al Khattab, Khalid Al Walid,  Tariq bin Ziyad, Sultan Muhammad Al Fateh, Salahuddin Al Ayyubi dan Sultan Saifuddin Qurtuz? Teringat kisah dalam perang Ain Jalut apabila Mesir menghadapi masalah belanjawan perang kerana telah banyak wang yang digunakan dalam Perang Salib sebelum ini. Lalu, Sultan Saifuddin memanggil semua pembesar dan ulama' untuk membincangkan masalah ini. Ketika Sultan Qurtuz mencadangkan agar dilakukan kutipan dari rakyat jelata (kerana zmn dulu, tiada kutipan cukai yg dikenakan selain daripada zakat), maka seorg ulama' iaitu Izzuddin Abdis Salam mengeluarkan satu fatwa yang cukup tegas. Beliau berkata:

Apabila negara Islam diserang, wajib ke atas dunia Islam untuk memerangi musuh. Harus diambil dari rakyat jelata harta mereka untuk membantu peperangan dengan syarat tidak ada harta langsung di dalam Baitul Mal. Setiap kamu (pihak pemerintah) pula hendaklah menjual semua yang kamu miliki dan tinggalkan untuk diri kamu hanya kuda dan senjata. Kamu dan rakyat jelata adalah sama di dalam masalah ini. Ada pun mengambil harta rakyat sedangkan pimpinan tentera memiliki harta dan peralatan mewah, maka ianya adalah tidak harus.

Allahuakbar, kata-kata yg patut dihadam oleh semua pemimpin. Apa gunanya slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' jika rasuah di kalangan pemimpin masih berleluasa dan cukai yang terlalu banyak hingga membebankan rakyat, sedangkan puak kroni hidup mewah dengan barang kemas dan mahligai.
..................................................................

Tapi, apa kaitan BERSIH dengan Isra' Mi'raj ni? Confused? Hmm, sebenarnya nak berkongsi sedikit ilmu daripada seorang ustaz tentang kisah pemBERSIHan dada Nabi sebelum peristiwa Isra' Mi'raj melalui 3 proses:

1) TAKHALLI
  • Dada Nabi dibelah dan dicuci dengan air zamzam, serta dibuang ketulan hitam (tempat yang biasa syaitan duduk). Di peringkat ini, jelas menunjukkan bahawa kita mestilah bersihkan diri dan buang segala kotoran mazmumah yang ada dalam diri sama ada dosa besar atau dosa kecil. Mana mungkin nur kebaikan dapat bercampur dengan gelap pekat kejahatan. 

2) TAHALLI
  • Setelah bersih, dada Nabi dituangkan dengan hikmah, ilmu dan iman. Setelah itu, dada Nabi dijahit semula. Di peringkat ini, sesudah kita membersihkan diri daripada kotoran maksiat, segera pula kita hiasi jiwa kita dengan sifat mahmudah seperti rajin, sabar, pemaaf, qana'ah, selalu ingat mati dan tawakkal. Kemudian,  perkemas 'ibadah wajib dan perbanyakkan amalan sunatInsya Allah, jika kita bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam ber'amal, lama kelamaan ia akan sebati dengan hati dan akan terasalah lazatnya ibadah itu. Istiqomahlah serta banyakkan berdoa: Allahumma habbib ilainal iman wa zayyinhu fi qulubina wa karrih ilaina alkufra wal fusuqa wal 'isyan waj 'alna minarraasyidin (Ya Allah, cintakan aku pada iman, dan hiasilah ia dalam hatiku dan campakkan rasa benciku pada kufur, fasiq dan maksiat dan jadikanlah aku dalam kalangan orang yang mendapat petunjuk)

3) TAJALLI
  • Di peringkat ini, setelah mujahadah dalam peringkat takhalli dan tahalli, kita akan dapat merasakan satu penghayatan bahawa Allah sentiasa melihat kita 24 jam walau di mana kita berada. Walaupun sedang bersendirian tanpa sesiapa di sisi, kita tidak berani untuk lakukan maksiat dan dosa kerana sedar bahawa malaikat Rakib Atid setia mencatat amal baik buruk kita setiap detik. Rasa taqwa dan cinta pada Kekasih Agung menyebabkan diri tawar dan hambar untuk lakukan kemungkaran. Tertarik dengan kata-kata Saidina Ali: " Beribadatlah sehingga kita letih untuk lakukan kejahatan".
..................................................................................................................

Hari ini dah masuk bulan Sya'ban.  Sama-sama kita muhasabah dan cek balik sejauh mana komitmen kita dan tahap khusyuk kita dalam solat. Peristiwa Isra' Miraj ini amat bermakna dalam sejarah Islam kerana pada malam itulah Rasulullah s.a.w menerima mandat secara langsung daripada Allah tentang solat fardhu 5 waktu ini. Saya syor pada sahabat-sahabat, bacalah buku Khusyuk dalam Solat hasil tulisan TG Nik Abdul Aziz Nik Mat. Siri tazkirah yang sangat menyentuh hati, mengajar kita bagaimana cara untuk mencapai khusyuk dalam solat dan membawa kita menilai sejauh mana tahap kualiti solat kita selama ini. Gaya penulisan yang santai, mudah difahami, dan perumpamaan yang tak terfikir di minda. Bacalah, tak rugi sedikitpun..


Satu lagi, hari ini berjaya juga habiskan sebuah buku iaitu Palestin daripada Perampas Jalanan kepada Peta Jalanan, karya TG Haji Abdul Hadi Awang. Peristiwa Isra' Mi'raj ini menggamit rasa rindu dan cinta pada bumi Palestin yang mana terdapat di dalamnya Masjidil Aqsa, yang menjadi tempat persinggahan Nabi dalam perstiwa Isra' Mi'raj ini. Tapi, bumi Palestin kini dikuasai Israel, malah rakyat Islam Palestin dibunuh dan dibom oleh musuh-musuh Islam ini sesuka hati. Apa peranan kita sebagai umat Islam? Sedarlah, hidup kita dengan mereka tidak sama. Tangisan kita kerana mendapat markah rendah dalam exam, tapi tangisan mereka kerana kehilangan ahli keluarga tercinta. Kesedihan kita kerana tidak mendapat apa yang dicita-citakan, tapi kesedihan mereka kerana melihat rumah mereka diceroboh dan dimusnah. Bezanya kita dengan mereka. Apakah bantuan yang mampu kita hulurkan pada mereka kerana mereka juga saudara seislam kita? Jangan lupa, bumi Aqsa adalah tanggungjawab kita bersama. Benda yang paling mudah untuk kita lakukan ialah BERDOA dan BOIKOT PRODUK ISRAEL. 

Secara ringkasnya, 3 hikmah di sebalik peristiwa Isra' Mi'raj ini ialah:
  1. mengetahui 3 cara pemBERSIHan hati (takhalli, tahalli, tajalli)
  2. menilai sejuah mana tahap komitmen dan khusyuk kita dalam solat
  3. lebih cakna pada isu umat Islam di Palestin

"Jadikan peristiwa Isra' Mi'raj ini sebagai turning point untuk kita menilai sejauh mana mutu solat kita dan turning point untuk kita cakna isu umat Islam Palestin"
                                                                                                                                                                 
 

2 comments:

  1. terima kasih ats perkongsian ni. mmg byk iktibar yg boleh diambil drp peristiwa isra' mi'raj ni. smpaikan BERSIH pun boleh dikaitkan sekali. nice writing :)

    ReplyDelete
  2. arrayah.info - Analisis di antara KHILAFAH 2.0 dengan BERSIH 2.0

    arrayah.info - Pihak Berkuasa Munafik Ramallah Menghalang Seruan Kebangkitan Khilafah di Palestin

    ReplyDelete