Tak sampai seminggu lagi nak masuk Ramadhan. Terasa begitu cepat masa berlalu. Selalu saja rasa menyesal dengan diri kerana tidak memanfaatkan masa sebaiknya untuk topup 'amal dan ulang quran sepanjang cuti. Sedangkan waktu cuti ni langsung tak dibebani dengan kerja akademik. Sekadar duk di rumah tolong buat kerja itu dan ini, memang banyak sangat peluang nak buat 'amal.
Tak apa, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tak berguna. Hari ni ada lagi. Setiap hari adalah kesempatan, kesempatan untuk raih redha dan cinta Allah. Apa yang penting, kita perlu ada kesedaran untuk hargai masa.
Nabi pun pernah berpesan tentang waktu, sehinggakan terdapat 2 soalan utama yang khusus berkaitan dengan waktu ini daripada 4 soalan asasi yang akan ditanya pada setiap mukallaf di hari Hisab nanti : "Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehinggalah ditanya 4 perkara tentang:
- umurnya, bagaimana ia menghabiskannya
- masa mudanya, bagaimana ia menggunakannya
- hartanya, dari mana dia mendapatkannya & bagaiama ia membelanjakannya
- ilmunya, apakah ia beramal dengannnya
Pada waktu inilah, segala anggota badan kita akan berhujah bagi pihak diri kita untuk menjawab soalan di atas berdasarkan segala perlakuan kita di dunia dulu. Allah, tegang sekejap urat leher bila teringat saat ni. Tambah-tambah bila melihatkan maksud ayat 6-8 surah Az Zalzalah: "Pada hari itu, manusia keluar dari keadaan yang berkelompok (ada yang beruntung da ada yang celaka) untuk diperlihatkan kepada mereka balasan semua perbuatannya. Maka barangsiapa yang berbuat baik seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang berbuat jahat, nescaya dia akan melihat balasannya"
Sebab itulah, sebagai mukmin, kita hendaklah ada rasa takut dan harap. Takut pada azab Allah dan berharap pada rahmat dan maghfirah Allah.
Jadi, masa yang ada ini kena manfaatkan sebaiknya. Apatah lagi sepanjang bulan Ramadhan nanti. Jangan biarkan ia berlalu dengan sia-sia, hidupkan roh Ramdhan dengan tadarus Al Quran dan dalami ilmu agama. Sesungguhnya, hakikat umur ialah kadar yang ditulis di sisi Allah berdasarkan amal soleh dan ihsan kita pada makhluk. Walaupun usia kita sekarang 20 tahun, apakah di sisi Allah itu dikira 20 tahun juga? Tepuk dada tanya diri. Masing-masing boleh tanya dan sukat 'amal kita masing-masing sepanjang hidup sebagai seorang yang mukallaf ni.
Ya, kita boleh tipu orang lain, tapi kita tak boleh tipu Allah dan tipu diri sendiri. Berubahlah wahai diri, tiada jalan lain! Memang susah nak istiqomah nak buat baik, sentiasa saja diuji dengan diri sendiri dan suasana persekitaran. Laptop depan mata dan Al Quran kat atas meja, mana satu yang nak dicapai?. Kalau iman kuat, Quran yang kita pilih. Tapi kalau iman lemah, berjam-jam depan laptop la jawabnya.
Terfikir sendiri, sahabat-sahabat Nabi dulu dapat khatam Quran banyak kali waktu bulan Ramadhan. Kenapa kita tak boleh? Mungkin sebab zaman mereka, laptop tak wujud lagi. Jadi, banyak masa mereka gunakan dengan baca Quran..
Akhir sekali, nak bawa 2 kisah dipetik daripada buku Nilai & Pengurusan Waktu Dalam Hidup Muslim oleh Dr Yusuf Al Qardhawi, berkaitan dengan musuh masa iaitu sikap suka bertangguh:
1. Salah seorang pemerintah menjemput seorang lelaki soleh ke jamuan makan, tapi ditolak oleh lelaki soleh itu kerana dia sedang berpuasa. Pemerintah itu berkata, "Berbukalah pada hari ini dan kamu boleh puasa pada esok hari". Lalu, lelaki soleh itu berkata, "Adakah engkau dapat menjamin aku dapat hidup sampai hari esok?"
2. kisah seorang hamba Allah telah melihat Umar Abdul Aziz yang kelihatan penat setelah melakukan banyak kerja. Lelaki itu kemudiannya berkata: “Wahai Umar, tanggunglah kerja ini pada esok hari. Kamu kelihatan penat sekali”. Lalu Umar menjawab: “Kerja yang sehari ini saja telah buatkan aku penat. Bagaimana pula jika aku tangguhkannya pada esok hari dan terhimpun ke atasku kerja 2 hari? Pasti lagi memenatkan”
Masa itu sentiasa berjalan tanpa menunggu kita. Manfaatkan masa di dunia ini untuk ganjaran di akhirat kelak. Akhirnya, sama-sama perbaiki diri dan tingkatkan 'amal menuju Ramadhan tak lama lagi. Ramadhan Kareem..
اللهم بَارِكْ لَنَا فِيْ شَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
No comments:
Post a Comment