Sunday, 29 July 2012

aku bukan hamba Ramadhan

Aku bukan hamba Ramadhan,
kerna Ramadhan cuma sebulan,
itu cuma satu kesempatan dari Tuhan,
agar aku gandakan 'amalan,
agar aku tingkatkan kesabaran,
untuk menjadi hamba beriman.

Dalam tempoh sebulan,
al Quran menjadi teman,
qiam pun jadi ringan, 
jema'ah subuh tak pernah lengang,
terawih di masjid jadi kebiasaan,
sentiasa cari peluang berbuat ihsan,
berusaha selalu menjaga pandangan,
lisan terjaga dari perkara haram, 
agar pahala tidaklah lompang,
kerna merebut barokah Ramadhan..

30 hari berlalu sudah,
'Aidil fitri disambut meriah,
solat pun makin lengah,
kadang terlewat sampai subuh gajah,
baca Quran makin susah,
hati makin goyah,
kadang tersesat dengan dosa membuncah,

Ya Allah,
bantulah aku dalam mengingatiMu, bersyukur padaMu, dan perelokkan ibadahku,
aku tidak mahu jadi hamba Ramadhan, tapi jadi hambaMu Tuhan,
aku tidak mahu bertuhankan Ramadhan, tapi bertuhankan Engkau Ya Rahman,
ikhlaskan aku,
agar madrasah Ramadhan sebulan ini,
mendidik aku menjadi hambaMu yang muttaqin,
bukan saja di bulan ini, bahkan ke penghujung hayatku nanti
..........................................

9 hari sudah Ramadhan. Tapi bagaimana kualiti ibadah kita. Teringat tazkirah seorang ustaz dalam Ikim: "
Dalam kalangan kita ada yang telah khatam Al Quran. Ada yang munajatnya di dini hari hingga air matanya tidak berhenti mengalir  kerana takutkan Allah. Dalam kalangan kita ada yang benar dalam taubatnya, diterima taubatnya sehingga keluar darinya dosa sama seperti hari dia dilahirkan. Namun malang sekali, masih ada dalam kalangan kita yang masih mensia-siakan Ramadhan hingga saat ini. Baginya Ramadhan cuma satu adat; puasa, bazar, dan terawih. Tapi, roh Ramadhan tidak dihayati sebenar-benarnya. Tinggal terawih rasa berdosa, tapi melengahkan solat fadhu rasa biasa. Rugi. Sangatlah rugi golongan ini. Bersegeralah sebelum Ramadhan berlalu pergi. Jadikan Ramadhan sebulan ini sebagai madrasah untuk mendidik kita jadi hamba yang lebih dekat dengan Allah. Agar ia menjadi bekal untuk kita terus istiqomah hingga Izrail menjemput kita"

Ramadhan kareem. Untuk sahabat yang tidak bercuti, sibuk di kampus dan adik-adik yang akan exam UPSR, PMR dan SPM tak lama lagi, latihlah diri dengan sifat bersyukur. Jangan mengeluh andainya penat. Berpuasalah kita seperti mana orang-orang dahulu berpuasa, agar kamu bertaqwa. Ini pesan Allah. Kenapa dikaitkan dengan orang terdahulu? Kerana mereka; walaupun berpuasa, tetap lincah di medan Badar, tetap bersemangat menggali parit untuk persediaan perang Khandaq, tetap mara memastikan pembebasan kota Mekah daripada kekufuran. Hebatnya mereka. Tariq bin Ziyad berjaya tawan Andalus di bulan Ramadhan, Salahuddin Al Ayyubi berjaya tawan Palestin daripada tentera salib di bulan Ramadhan, Sultan Saifuddin Qurtuz berjaya kalahkan tentera Monggol di bulan Ramadhan. Walaupun berpuasa di siang hari, tapi kerana taqwa yang teguh dalam jiwa, mereka tidak mudah lemah. Bahkan Ramadhan ini jadi batu loncatan untuk mereka jadi lebih hebat. Jadi kita pula bagaimana? Jom contohi mereka :)

No comments:

Post a Comment