Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Tuesday, 23 August 2011

Fikrah Ramadhan MHI: Kecil bawa ke syurga

Tadi tengok slot Fikrah Ramadhan dalam MHI TV3. Tajuk dia: "Persediaan menjadi graduan Ramadhan yang berkualiti". Lagipun, sekarang dah masuk 10 hari terakhir Ramadhan. Jadi, kena pulun untuk rebut peluang pahala dan rahmat yang dijanjikan Allah. Allahummarzuqna lailatal qadr.

Ustazah Laila Aniza ada cakap, jangan tinggalkan perkara kecil yang kebanyakannya kita remehkan, contohnya bersahur. Nabi ada bersabda: "Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada keberkatan" (HR Bukhari dan Muslim). Mungkin ada sesetengah tu lebih suka bersahur sebelum tidur, combine terus supper dan sahur. Amalan ni sebenarnya tak betul sebab hukumnya sunat untuk kita lewatkan sahur. Janganlah rasa berat nak bangun sahur sebab Allah dah janjinya dengan keberkatan. Pasakkan dalam diri, "Aku kena bangun sahur jugak sebab nak dapat rahmat Allah". Tiada yang lebih gembira selain daripada mendapat rahmat Allah. 



Satu lagi, amalan yang sering kita abaikan iatu senyum dan bagi salam. Mudah sangat nak dapat pahala, tapi mudah juga diabaikan oleh kita-kita ni. Ustazah ajar tadi, senyumlah pada orang yang kita jumpa waktu solat terawih ataupun di bazar Ramadhan. Biarlah orang tu tak balas senyum kita, tapi Allah dan malaikat tetap menilainya sebagai 'amal soleh.

Satu lagi pengisian yang sangat menarik daripada ustazah tadi iaitu tentang kelebihan bersalam. Selain dapat menghapuskan dosa-dosa kecil, mungkin juga orang yang kita bersalam itu adalah orang yang mulia di sisi Allah. Insya Allah, moga-moga kita pun dapat tempias barokah yang Allah kurniakan pada orang tu. Sebab tulah ramai orang berebut nak bersalam dengan alim ulama'. Tapi, ada juga yang berebut nak bersalam dengan artis yang jelas-jelas abaikan syariat Islam ni. Hmm, no comment. Dan satu lagi, jangan lupa, bila kita bagi salam pada orang, orang tu dan malaikat yang jawab salam tu balik. Untungnya. Apa lagi yang kita nak selain daripada terima salam daripada malaikat.

Tadi pun,kak Wardina ada tanya 1 lagi perkara biasa yang diabaikan iaitu tentang kebersihan. Contohnya suasana di bazar Ramadhan yang kotor dengan sampah dan plastik. Kebersihan tu kan separuh daripada iman. Apa salahnya kalau kita nampak sampah di depan, kita kutip dan buangnya dalam tong sampah. Sesungguhnya, selemah-lemah iman adalah mengubah atau membuang sesuatu yang menghalang di jalanan. Boleh jadi amal yang kecil ini, menjadi sebab untuk kita dapat rahmat Allah untuk ke syurga. Jadi, jangan pandang remeh pada mak cik pak cik tukang sapu ni. Boleh jadi mereka itu lebih dikenali oleh Allah dan para malaikat berbanding kita yang berpelajaran ni.

Akhir sekali, ustazah ada bagi contoh untuk kes mengubah sesuatu yang menghalang di jalanan ini, iaitu dalam kita terkejar-kejar ke masjid nak dapat pahala takbiratul ihram bersama imam, kita lalai meletakkan kenderaan kita hingga ia menyusahkan orang yang datang awal untuk keluar ataupun ia menghalang laluan orang ramai.

Jadi moralnya, janganlah kita abaikan sesuatu amalan yang dirasakan kecil saja nilainya. Mungkin kecil di sisi makhluk, tapi di sisi Allah besar ganjarannya.

# Baru ada sikit mood nak menulis lepas dapat capai beberapa target Ramadhan ni. Alhmdulillah.. And also, thanks to my best friend, cik athirah kerana anda menulis, sy pun teruja nak menulis.. Love you dear..

Wednesday, 3 August 2011

Ramadhan Kareem..

Alhamdulillah. Bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini sudah tiba. Semua umat Islam mukallaf diwajibkan berpuasa. Walaupun makanan berlambak ada di dapur, tapi iman dengan tegasnya menolak kemahuan nafsu untuk makan. Sebab itulah, puasa ini dapat mendidik umat Islam untuk menjadi mukmin bertaqwa. Definisi taqwa oleh Ubai b Ka'ab sewaktu ditanya oleh Saidina Umar r.a: "Taqwa adalah berwaspada dan hati-hati". Maka sebab itulah, orang yang berpuasa ini sentiasa berhati-hati agar tidak melakukan perkara yang dapat membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hinggalah waktu berbuka. Takutnya kalau terbatal ibadah puasa yang sememangnya wajib bagi mukallaf.

Sama-sama kita hidupkan Ramadhan ini dengan perbanyakkan membaca Al Quran. Diriwayatkan bahawa Imam Malik, Sufiyan Ath Thauri dan ulama'-ulama' dulu berhenti daripada mengajar hadis sepanjang bulan Ramadhan kerana hendak perbanyakkan bacaan Al Quran. Agak-agak, boleh ke kita berhenti daripada online dan TV kerana nak fokus pada Al Quran? 

Tapi yang peliknya, kenapa program Islam ini hanya bermusim? Pada bulan Ramadhan sahaja ditayangkan program yang bercorak islamik, sedangkan pada bulan lain, hiburan lagho yang mendapat keutamaan.. Selain bulan Ramadhan, lagu nasyid jarang diketengahkan, sebaliknya lagu yang mengagungkan cinta kekasih lebih banyak dipasang. Hairan bin ajaib. 

Tertarik dengan kata-kata Dr Basit dalam ceramahnya 'hubungan antara Rasulullah dan Ramadhan', kenapa nak goda orang di bulan puasa ni? Sepatutnya, masa kita lebih banyak pada Al Quran. Berikut adalah potongan video daripada kuliah penuh Dr Basit.. 

 

Selamat beribadah dalam bulan Ramadhan ni. Pinjam ayat daripada blog kak husna

'Bukan kita beribadah kerana bertuhankan Ramadhan, tetapi kita beribadah bertuhankan Allah. Ramadhan itu sebulan sahaja, sedangkan Allah itu selama-lamanya. Namun, jadikan Ramadhan sebagai bulan tarbiyyah, untuk melatih diri dengan amal soleh yang berpanjangan. InsyaAllah!'

Monday, 25 July 2011

Masa itu nyawa kita..

Tak sampai seminggu lagi nak masuk Ramadhan. Terasa begitu cepat masa berlalu. Selalu saja rasa menyesal dengan diri kerana tidak memanfaatkan masa sebaiknya untuk topup 'amal dan ulang quran sepanjang cuti. Sedangkan waktu cuti ni langsung tak dibebani dengan kerja akademik. Sekadar duk di rumah tolong buat kerja itu dan ini, memang banyak sangat peluang nak buat 'amal.

Tak apa, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tak berguna. Hari ni ada lagi. Setiap hari adalah kesempatan, kesempatan untuk raih redha dan cinta Allah. Apa yang penting, kita perlu ada kesedaran untuk hargai masa.

Nabi pun pernah berpesan tentang waktu, sehinggakan terdapat 2 soalan utama yang khusus berkaitan dengan waktu ini daripada 4 soalan asasi yang akan ditanya pada setiap mukallaf di hari Hisab nanti : "Tidak akan berganjak dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehinggalah ditanya 4 perkara tentang:
  1. umurnya, bagaimana ia menghabiskannya
  2. masa mudanya, bagaimana ia menggunakannya
  3. hartanya, dari mana dia mendapatkannya & bagaiama ia membelanjakannya
  4. ilmunya, apakah ia beramal dengannnya

Pada waktu inilah, segala anggota badan kita akan berhujah bagi pihak diri kita untuk menjawab soalan di atas berdasarkan segala perlakuan kita di dunia dulu. Allah, tegang sekejap urat leher bila teringat saat ni. Tambah-tambah bila melihatkan maksud ayat 6-8 surah Az Zalzalah: "Pada hari itu, manusia keluar dari keadaan yang berkelompok (ada yang beruntung da ada yang celaka) untuk diperlihatkan kepada mereka balasan semua perbuatannya. Maka barangsiapa yang berbuat baik seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang berbuat jahat, nescaya dia akan melihat balasannya"

Sebab itulah, sebagai mukmin, kita hendaklah ada rasa takut dan harap. Takut pada azab Allah dan berharap pada rahmat dan maghfirah Allah.

Jadi, masa yang ada ini kena manfaatkan sebaiknya. Apatah lagi sepanjang bulan Ramadhan nanti. Jangan biarkan ia berlalu dengan sia-sia, hidupkan roh Ramdhan dengan tadarus Al Quran dan dalami ilmu agama. Sesungguhnya, hakikat umur ialah kadar yang ditulis di sisi Allah berdasarkan amal soleh dan ihsan kita pada makhluk. Walaupun usia kita sekarang 20 tahun, apakah di sisi Allah itu dikira 20 tahun juga? Tepuk dada tanya diri. Masing-masing boleh tanya dan sukat 'amal kita masing-masing sepanjang hidup sebagai seorang yang mukallaf ni.

Ya, kita boleh tipu orang lain, tapi kita tak boleh tipu Allah dan tipu diri sendiri. Berubahlah wahai diri, tiada jalan lain! Memang susah nak istiqomah nak buat baik, sentiasa saja diuji dengan diri sendiri dan suasana persekitaran. Laptop depan mata dan Al Quran kat atas meja, mana satu yang nak dicapai?. Kalau iman kuat, Quran yang kita pilih. Tapi kalau iman lemah, berjam-jam depan laptop la jawabnya.

Terfikir sendiri, sahabat-sahabat Nabi dulu dapat khatam Quran banyak kali waktu bulan Ramadhan. Kenapa kita tak boleh? Mungkin sebab zaman mereka, laptop tak wujud lagi. Jadi, banyak masa mereka gunakan dengan baca Quran.. 

Akhir sekali, nak bawa 2 kisah dipetik daripada buku Nilai & Pengurusan Waktu Dalam Hidup Muslim oleh Dr Yusuf Al Qardhawi, berkaitan dengan musuh masa iaitu sikap suka bertangguh:

1. Salah seorang pemerintah menjemput seorang lelaki soleh ke jamuan makan, tapi ditolak oleh lelaki soleh itu kerana dia sedang berpuasa. Pemerintah itu berkata, "Berbukalah pada hari ini dan kamu boleh puasa pada esok hari". Lalu, lelaki soleh itu berkata, "Adakah engkau dapat menjamin aku dapat hidup sampai hari esok?"

2. kisah seorang hamba Allah telah melihat Umar Abdul Aziz yang kelihatan penat setelah melakukan banyak kerja. Lelaki itu kemudiannya berkata: Wahai Umar, tanggunglah kerja ini pada esok hari. Kamu kelihatan penat sekali. Lalu Umar menjawab:Kerja yang sehari ini saja telah buatkan aku penat. Bagaimana pula jika aku tangguhkannya pada esok hari dan terhimpun ke atasku kerja 2 hari? Pasti lagi memenatkan

Masa itu sentiasa berjalan tanpa menunggu kita. Manfaatkan masa di dunia ini untuk ganjaran di akhirat kelak. Akhirnya, sama-sama perbaiki diri dan tingkatkan 'amal menuju Ramadhan tak lama lagi. Ramadhan Kareem..

اللهم بَارِكْ لَنَا فِيْ شَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Saturday, 4 June 2011

persediaan menghadapi madrasah Ramadhan

Alhamdulillah. Hari ni dah masuk 3 Rejab. Tak sampai 2 bulan lagi kita akan sambut Ramadhan, bulan yang penuh berkat  اللهم بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ. Manfaatkan tempoh waktu yang ada ini untuk memperbaiki diri yang sering saja lalai daripada mengingati Allah Ta’ala.

Jujur dengan diri bila muhasabah sejauh mana hubungan kita dengan Ilahi. Setakat mana respond kita pada seruan Allah Ta’ala. Bersungguh-sungguh atau sering bertangguh? Buktinya, sewaktu bilal melaungkan azan, diri masih terasa berat untuk segera bangun menyahut seruan Ilahi. Nafsu sentiasa memujuk supaya tunggu sekejap lagi. Teringat kata-kata Habib Ali Al Jufri:Mukmin yang benar-benar mencintai Allah itu sentiasa menunggu masuknya waktu solat kerana ia bermakna saat pertemuan dengan Kekasihnya semakin hampir. Dan juga kamu akan merasa tenang sewaktu sedang solat, bukannya selepas solat”. Tapi, bagaimana keadaan kita? Solat yang cuma 10 minit itu saja kita tidak mampu untuk khusyuk sepenuhnya, dan masih terasa berat untuk duduk sekejap berzikir panjang seusai solat.  Jiwa tidak merasai ketenangan yang sebenar sewaktu solat. 

Lagi, setakat mana masa yang kita peruntukkan masa dengan Al Quran. Mana lebih sedap, 1 jam membaca Al Quran atau 1 jam tengok movie? Terkesan dengan kata-kata seorang ulama’: “Hati yang bersih itu tidak akan merasa kenyang dengan Al Quran”. Mungkinkah maksiat yang dilakukan telah menghalang hidayah Allah sampai ke hati sehingga menyebabkan kemanisan ibadah itu tidak mampu dirasai. Allahummaghfirli. Malunya dengan Allah. Bukan menuding jari pada orang lain. Menulis sebagai muhasabah dan berleter pada diri sendiri yang sering saja berjanji dengan Allah untuk bertaubat, tapi sering pula dimungkiri. Lantaran itulah, diri sentiasa mahu bertangguh untuk membaca Al Quran hingga selalu sahaja kesempatan yang ada luput begitu sahaja. Teringat kisah seorang hamba Allah telah melihat Umar Abdul Aziz yang kelihatan penat setelah melakukan banyak kerja. Lelaki itu kemudiannya berkata: Wahai Umar, tanggunglah kerja ini pada esok hari. Kamu kelihatan penat sekali. Lalu Umar menjawab:Kerja yang sehari ini saja telah buatkan aku penat. Bagaimana pula jika aku tangguhkannya pada esok hari dan terhimpun ke atasku kerja 2 hari? Pasti lagi memenatkan. Allahuakbar. Iktibar yang cukup bermakna buat diri yang suka bertangguh.

Tarbiyyah diri sebelum memasuki madrasah Ramadhan. Mencari kemanisan dalam beribadah agar mampu istiqomah dalam melakukan ketaatan pada Allah dan meninggalkan perkara yang dimurkaiNya. Mahalnya harga istiqomah kerana ia memerlukan mujahadah dan keikhlasan dalam diri. Harapan dan azam yang tinggi, moga Ramadhan kali ini menjadi turning point untuk diri ini lebih dekat dengan Allah Ta’ala dan menjadi mukmin bertaqwa. Bimbang tergolong dalam golongan yang tidak mampu menghidupkan hatinya dengan kebaikan meskipun berada dalam bulan Ramadhan.

Dengar lagu ramadhan ini menggamit rasa rindu untuk berada dalam bulan yang penuh rahmat itu. Lagipun, tahun ini pertama kalinya akan dapat puasa penuh di rumah setelah 7 tahun puasa di asrama. Ya Allah, panjangkan umur kami agar dapat berada dalam bulan Ramdhan nanti untuk memohon keampunanMu.